KUALA LUMPUR 4 Okt. – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang yang menempatkan jenazah enam anggota bomba yang mati lemas ketika operasi mencari dan menyelamat di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, dekat sini hari ini.
Kelihatan ramai ahli keluarga dan anggota bomba hadir sebaik sahaja kesemua mayat dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan dan hanya duduk di ruangan menunggu dengan linangan air mata.
Lebih menyedihkan, kelihatan anak-anak yang masih kecil dan tentunya masih tidak mengerti apa yang berlaku kepada bapa mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong berkenaan.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi akibat hujan lebat sejak petang tadi.
Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.-UTUSAN ONLINE











