SEBERANG PERAI – Empat sekeluarga terdiri pasangan suami isteri bersama dua anak mereka cedera apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki arah sama di Jalan Permatang Buloh di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, pemandu kereta terbabit dilaporkan mengalami kecederaan pada muka dan patah kaki akibat tersepit di tempat duduk manakala isterinya luka ringan pada badan.
Anak lelaki pasangan itu berusia dua tahun pula dikatakan mengalami patah kaki dan seorang lagi berumur enam bulan tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, semasa kejadian berlaku mangsa dikatakan dalam perjalanan membuka gerai makan yang diusahakannya di Perai.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian telah datang sebuah kereta jenis Honda City putih dari arah hadapan dan masuk ke laluannya menyebabkan berlaku pertembungan.
“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu kereta (mangsa) tersepit dan cedera pada muka dan patah tangan manakala isteri serta dua anaknya cedera ringan,” katanya di sini.
Menurut beliau, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan polis setakat ini belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kereta Honda City terbabit. – K! ONLINE










