Eksport kayu-kayan daripada januari hingga ogos merosot 5.7 peratus - Utusan Malaysia

Eksport kayu-kayan daripada januari hingga ogos merosot 5.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Jumlah eksport kayu-kayan dan produk berasaskan kayu-kayan merosot 5.7 peratus kepada RM14.6 bilion daripada Januari hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh yang sama 2017 berikutan faktor cuaca.

Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Datuk Low Kian Chuan berkata, walaupun terdapat penurunan, majlis itu yakin dapat mencapai sasaran eksport tahunannya menjelang akhir tahun.

“Setakat ini, penjana pendapatan utama kami, iaitu perabot kayu, papan lapis, kayu bergergaji, papan gentian dan pertukangan kayu telah berjalan dengan baik,” katanya di luar Persidangan Kayu-Kayan Malaysia pertama di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, dengan komitmen Malaysia dalam mengekalkan litupan hutan melepasi 50 peratus, industri kayu akan kekal mampan dalam jangka panjang.

“Pengeluar produk berasaskan kayu mesti mengenal pasti dan mengatasi kesulitan yang berkaitan dengan pertumbuhan supaya perniagaan mereka dapat terus berkembang.

“Kita juga perlu menghadapi cabaran dengan menggunakan penyelesaian inovatif, mampan dan dipacu pasaran,” katanya,

Industri perkayuan menyumbang kira-kira 1.7 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara dengan pendapatan sebanyak RM23.2 bilion pada 2017.

Kian Chuan berkata, pengeluar kayu Malaysia dihormati kerana menghasilkan produk berkualiti tinggi, oleh itu penting untuk mengekalkan kedudukan negara di pasaran global.

Bertemakan, “Ke Arah Esok yang Lebih Baik”, persidangan sehari itu akan menganalisis prospek ekonomi global, permintaan dan bekalan kayu di seluruh dunia, keperluan untuk persijilan untuk membuktikan bahawa kayu itu diekstrak secara yang mampan dan sah, merangkumi teknologi yang berkaitan dengan Industri 4.0 dan pengkomersilan penemuan penyelidikan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN