JOHOR BAHRU 17 Okt. – Pasaraya Econsave melancarkan Tabung Sulawesi dan Palu bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, Indonesia hujung bulan lalu.
Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, tabung khas tersebut diletakkan di semua 70 cawangan pasar raya tersebut di seluruh negara.
“Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan mereka di tabung-tabung yang disediakan. Sumbangan yang diberikan boleh dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan.
“Kita menyasarkan dapat mengumpulkan wang tunai sebanyak RM300,000 dan berharap sumbangan itu kita dapat sampaikan pada pertengahan bulan depan bagi membantu mangsa bencana berkenaan yang amat memerlukan bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Selain makanan, pihaknya berharap dapat memberikan barangan keperluan wanita serta membina perigi bagi kegunaan mangsa bencana tersebut.
Mas Imran memberitahu, pihaknya turut terpanggil untuk bersama-sama mengumpul dana kerana menyedari mangsa amat memerlukan bantuan bagi membina semula kehidupan yang terjejas teruk akibat bencana alam berkenaan.
“Baru-baru ini, Econsave bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu MyCare dan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh turut mengadakan misi kemanusiaan ke Lombok, Indonesia yang terjejas akibat gempa bumi.
“Di sana Econsave memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membina 20 Rumah Senyum dan menyampaikan barangan makanan kepada mangsa,” katanya.










