Dua tren KTMB berlanggar di Stesen Tg Malim - Utusan Malaysia

Dua tren KTMB berlanggar di Stesen Tg Malim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM, 18 Okt. – Sebuah tren komuter dan tren kargo berlanggar di Platform 2, Stesen Tanjung Malim pada 6.02 pagi ini.

KTM Berhad dalam satu kenyataan memberitah,u tren kargo dengan muatan 30 gerabak, dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal (ICT) Ipoh manakala tren komuter memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang, dijadualkan berlepas pada pukul 6.05 pagi.

Katanya, seramai 20 penumpang di dalam tren komuter semasa insiden berlaku namun hanya lima penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim.

“Lima belas penumpang yang terselamat telah dipindahkan ke tren komuter lain untuk meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral,” katanya.

Rentetan perlanggaran itu, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi Sektor Utara akan mengalami kelewatan perjalanan di antara 10 hingga 15 minit.

“Perkhidmatan tren komuter pula mengalami gangguan perjalanan bagi laluan Tanjung Malim-Kepong dengan jangkaan kelewatan di antara 20 hingga 30 minit,” katanya.

Kelewatan perkhidmatan tren ini berlaku kerana penggunaan satu landasan sahaja di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru.

Dalam pada itu, bagi laluan KL Sentral-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Pulau Sebang, perkhidmatan KTM Komuter tidak terjejas ekoran kejadian itu dan beroperasi seperti biasa.

“KTM Berhad memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200atau layari Twitter @ktm_berhad. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN