KINABATANGAN – Dua maut manakala seorang parah dalam kejadian kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 135, Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, dua mangsa yang maut adalah penunggang motosikal Yamaha LC dan Honda Wave, manakala pembonceng Honda Wave pula parah.
Menurut A. Sahak, kemalangan kira-kira pukul 7 malam itu membabitkan mangsa berusia antara 19 hingga 24 tahun.
“Semasa kejadian penunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan dari Ladang Tye Yang menuju ke Lahad Datu telah hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
“Mangsa telah merempuh penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha LC yang berada di laluan bertentangan sehingga mengakibatkan penunggang maut dan pembonceng parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah A. Sahak, sebelum insiden penunggang dan pembonceng Yamaha LC pula dalam perjalanan dari Ladang Kokorotos ke Paris 3 dekat sini.
Katanya, kedua-dua penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











