PETALING JAYA 3 Okt. – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik syarikatnya bernilai RM69,047, tahun lalu.
Datuk Lee Kim Hock, 35, yang juga bekas Ketua Pemuda Malaysia Retail Chain Association(MRCA) dan isterinya Zhong Pei Ling, 32, warga China, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan tersebut di Blok A, 10 Boulevard, Jalan Cempaka, Kampung Sg. Kayu Ara di sini pada Januari 2017.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai pengarah syarikat Myorto Footcare Sdn. Bhd. yang telah diamanahkan dengan 13 keping cek bernilai RM69,047 telah melakukan pecah amanah dengan curang menyalahgunakan harta tersebut.
Kim Hock dan isterinya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ari sementara tertuduh-tertuduh diwakili peguam Manjit Singh. – UTUSAN ONLINE










