ARAU – Dua mayat wanita yang dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan ditemui di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini oleh orang awam kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa dikenali Norma Pin, 64, dan Norzalina Baharom, 35.
“Jarak penemuan kedua-dua mayat itu tidak berjauhan iaitu kira-kira satu kilometer.
“Tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh kedua-dua mayat itu dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Difahamkan, kedua-dua mangsa lemas di sungai itu.
Alamat kedua-dua mangsa di Taman Seruling, Sungai Petani, Kedah.
Hujan lebat di seluruh Perlis semalam yang menyebabkan kenaikan paras sungai dan arus deras.
Dalam pada itu, kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dekat sini untuk proses bedah siasat. – K! ONLINE










