Dua kanak-kanak maut dirempuh trak pikap - Utusan Malaysia

Dua kanak-kanak maut dirempuh trak pikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARUDI – Dua kanak-kanak maut apabila dirempuh sebuah trak pikap di Jalan Bakong-Lapok berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lapok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Carin Tigan, 10, dan Monica Ubong, 3.

Difahamkan, Carin merupakan emak saudara kepada Monica.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, kedua-dua kanak-kanak malang tersebut dikatakan sedang berjalan kaki di tepi jalan berkenaan.

Menurutnya, apabila mereka sedang melintas jalan, sebuah trak pikap jenis Isuzu D’Max yang datang dari arah Bakong ke Lapok secara tiba-tiba merempuh kedua-dua mangsa tersebut.

“Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan mereka.

“Pemandu lelaki yang berusia 28 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kedua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Beluru sebelum disahkan meniggal dunia oleh petugas perubatan.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN