Dua jam cari GRO sembunyi di dalam bilik rahsia di belakang panel elektrik  - Utusan Malaysia

Dua jam cari GRO sembunyi di dalam bilik rahsia di belakang panel elektrik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kelicikan sebuah pusat hiburan dan karaoke di Jalan Canning Estate di sini yang menyembunyikan 14 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing di dalam sebuah bilik rahsia di belakang panel elektrik terbongkar selepas lebih dua jam anggota dan pegawai Jabatan Imigresen mencari. 

Dalam serbuan melalui Ops Mega 3.0 yang diketuai oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali di tujuh lokasi bermula kira-kira pukul 9 malam tadi itu, anggotanya mengalami kesukaran untuk memeriksa pekerja GRO di pusat hiburan tersebut selepas pemilik premis enggan memberitahu lokasi persembunyian mereka.

“Kami percaya pusat hiburan ini mengupah warga asing melalui maklumat orang awam dan risikan namun pada awal serbuan, tiada seorang pun GRO warga asing itu ditemui di premis itu.

“Ia sangat menghairankan namun usaha keras dan tidak berputus asa pegawai dan anggota kami selama lebih dua jam, akhirnya bilik persembunyian tersebut dijumpai di belakang panel elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan awal pagi tadi.

Tambah Mustafar, tindakan pemilik premis menyembunyikan pekerja asing di dalam bilik seluas 10 x 1 meter itu di belakang panel elektrik bukan sahaja membahayakan mereka, malah turut boleh mengancam nyawa anggota Jabatan Imigresen.

“Siasatan awal Jabatan Imigresen mendapati bilik rahsia yang digunakan di belakang panel elektrik tersebut telah diubahsuai selain disediakan minuman air botol sebagai bekalan ketika menyembunyikan diri.

“Di premis ini, kami menahan lapan pekerja GRO wanita warga China dan enam wanita warga Vietnam selain 13 pelayan minuman warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Imigresen turut menyerbu enam lagi lokasi serbuan di sekitar Ipoh melibatkan gerai menjual air, kedai gunting rambut, pusat refleksologi, hotel, pusat hiburan dan kilang.

“Seramai 120 orang diperiksa dan Jabatan Imigresen menahan 74 orang warga asing dan 21 majikan.

“Kesemua tahanan yang melakukan pelbagai kesalahan itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN