DUA orang atlet masing-masing lelaki dan wanita dari negeri Pantai Timur disahkan positif bahan terlarang sewaktu beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh, Perak yang berakhir 22 September lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat dan pihaknya telah menghantar surat memohon penjelasan secara bertulis kepada atlet terlibat pada awal minggu ini.
Difahamkan, kedua-duanya dikesan positif bahan terlarang jenis methylhexanamine.
Bagaimanapun, status lebih lanjut mengenai atlet berkenaan tidak didedahkan kerana kedua-duanya perlu menjalani sesi pendengaran terlebih dahulu untuk mempertahankan diri masing-masing.
“Dukacitanya, saya mengesahkan dua atlet angkat berat yang memenangi pingat dari negeri Pantai Timur positif doping. Atlet terlibat ialah seorang atlet lelaki dan seorang wanita.
“Atlet terbabit juga akan menjalani sesi pendengaran dalaman dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, sebanyak 32 pingat emas ditawarkan dalam acara angkat berat pada Sukma edisi ke-19 berkenaan.
Seramai 15 orang atlet angkat dari negeri Pantai Timur terlibat pada Sukma 2018 memenangi pingat meliputi 10 lelaki dan lima wanita.
Susulan kes berkenaan, Ayub mengakui pingat yang diraih oleh dua atlet itu harus dipulangkan semula kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk penyelarasan semula kedudukan penerima pingat.
“Pingat yang diperoleh juga perlu dipulangkan semula kepada MSN dengan kadar segera untuk penyelarasan semula kedudukan penerima pingat,” ujarnya.










