AUSTIN 18 Okt. – Seorang lelaki dihukum penjara selama hampir 25 tahun setelah didapati bersalah melakukan jenayah kebencian dengan membakar sebuah masjid di Pusat Islam Victoria, Texas.
Marq Vincent Perez, 26, melakukan jenayah itu dengan niat jahat dan kebencian di pusat yang terletak kira-kira 200 kilometer di barat daya Houston pada 28 Januari 2017.
Jenayah berkenaan dilihat oleh kumpulan hak asasi Islam sebagai sebahagian daripada peningkatan gelombang sikap tidak bertoleransi terhadap penduduk Islam di Amerika Syarikat (AS).
Masjid terbabit telah dibina semula selepas menerima sumbangan yang mencurah-curah.
Sementara itu tertuduh yang mendengar masyarakat Islam Victoria telah mengutip wang untuk membina semula masjid itu memberitahu seorang saksi bahawa dia akan membakar lagi masjid itu jika mereka membinanya semula.
Jabatan Kehakiman memberitahu, Perez turut didapati bersalah atas tuduhan menggunakan bahan api untuk melakukan jenayah besar dan memiliki bahan pemusnah tidak didaftarkan melalui tuduhan berasingan dalam kejadian yang sama.
Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan Wilayah, John Rainey ketika menjatuhkan hukuman berkata, jenayah kebencian kini menjadi ‘barah dalam masyarakat’ dan ‘perbuatan itu tidak boleh diterima dalam masyarakat negara ini’.
Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun enam bulan terhadap tertuduh.
Pejabat Peguam Negara AS memaklumkan, semasa perbicaraan selama seminggu itu, pihak pendakwa raya menyifatkan jenayah itu sebagai ‘kes yang jelas dan mudah tentang kebencian’.
Dalam laporan akhbar San Antonio Express-News, peguam Perez mendakwa anak guamnya tidak melakukan jenayah itu malah semasa kejadian dia berada bersama-sama anak lelakinya yang baru lahir.
Pemangku Penolong Peguam Negara, John Gore melalui satu kenyataan berkata, tertuduh telah melakukan keganasan terhadap masyarakat Islam di Victoria.
“Setiap orang di negara ini mempunyai hak dan bebas beragama tanpa merasa takut,” katanya. – REUTERS










