Diesel subsidi dirampas - Utusan Malaysia

Diesel subsidi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 23 Okt. – Satu sindiket yang menjalankan aktiviti pembelian diesel secara tidak sah berjaya ditumpaskan apabila Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Selangor merampas 6,000 liter diesel dalam operasi di sebuah stesen minyak di Batu 4, Puchong dekat sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.45 pagi itu, diesel dan lori tangki terbabit yang dianggarkan bernilai RM61,000 dirampas dan pihak berkuasa turut menahan dua individu warga tempatan berusia lingkungan 30-an.

Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, hasil risikan pihaknya selama seminggu mendapati sindiket yang membawa lori tangki berkapasiti 6,000 liter itu sering mengambil diesel pada waktu malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan mendapati, suspek telah mengubah suai tangki asal lori terbabit dengan menempatkan satu pam berdekatan tangki asal untuk mengepam diesel yang dibeli ke tangki simpanan berkapasiti 6,000 liter,” katanya dalam sidang akhbar di stor penyimpanan PPDNHEP Selangor di sini.

Dalam pada itu, jelas Azman, siasatan mendapati sindiket mampu meraih pendapatan hampir RM1,200 setiap proses pemindahan apabila mereka menjualnya kepada pihak industri dengan kadar keuntungan 20 sen bagi setiap liter.

“Kami difahamkan, sindiket ini membeli diesel pada harga bersubsidi dengan perbezaan harga kira-kira 30 sen bagi setiap liter. Setakat ini, kami menahan kedua-dua individu ini untuk dirakam percakapan dan tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Be­kalan 1961 kerana menyimpan barangan kawalan dengan niat melakukan kesalahan dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini