Derma organ opsyen untuk pesakit ESRD - Utusan Malaysia

Derma organ opsyen untuk pesakit ESRD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGKAK pada betis hingga ke kakinya sejak lima bulan menyebabkan pergerakan Amirul Nizam Marodzi, 44, agak terbatas. Dia juga sering cepat rasa letih dan semput meskipun hanya melakukan kerja-kerja yang ringan. Penjawat awam itu pada mulanya beranggapan, bengkak pada kakinya itu mungkin akibat kesan sampingan kemalangan jalan raya yang dialaminya pada tahun 2012.

Ekoran rasa semput dan letih melampau itu akhirnya menggerakkan hati Amirul Nizam untuk pergi ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis menjalani pemeriksaan kesihatan.

Niatnya hanya mahu menjalani pemeriksaan. Nasib tidak menyebelahinya apabila dia telah ditahan hampir tiga minggu di wad hospital tersebut.

“Doktor mengesahkan bahawa saya menghidap End Stage Renal Disease (ESRD) iaitu sejenis penyakit kegagalan buah pinggang berfungsi pada tahap akhir dan perlu melakukan hemodialisis,” jelasnya.

Hemodialisis ialah satu daripada kaedah rawatan buah pinggang yang menggunakan mesin.

Semasa hemodialisis dilakukan, dua jarum khas dicucuk di bahagian lengan pesakit untuk mengalirkan darah dan disambungkan ke mesin hemodialisis melalui tiub darah.

Satu jarum digunakan untuk mengalirkan darah yang mengandungi bahan kumuh dari badan.

Darah itu dibersihkan menggunakan mesin hemodialisis.

Darah yang telah dibersihkan akan masuk semula ke dalam badan melalui jarum yang satu lagi. Pesakit perlu menjalani sesi hemodialisis tiga kali seminggu dengan tempoh setiap sesi rawatan sekitar empat jam.

Mengakui agak sukar menerima berita tersebut, Amirul Nizam tidak pernah mengalami penyakit serius yang boleh menyebabkan buah pinggangnya rosak.

Bagaimanapun, Amirul Nizam akhirnya reda dengan ketentuan bahawa dia menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir.

Sejak lima tahun lalu, menjadi rutin untuk Amirul Nizam menjalani hemodialisis.

Disebabkan perlu menjalani rawatan tersebut, Amirul Nizam merasakan masa berkualiti untuk bersama keluarga semakin berkurangan. Apatah lagi, dia juga mudah merasa penat dan mual.

Jelasnya, kos untuk melakukan hemodialisis agak mahal tetapi dia bersyukur kerana sebagai penjawat awam dan kos tersebut ditanggung oleh kerajaan.

Tahun lalu, ayah kepada Amirul Nizam telah mengambil keputusan untuk menderma buah pinggang kepada anaknya itu.

Tetapi setelah pemeriksaan dilakukan, buah pinggang ayahnya tidak sesuai untuk didermakan berikutan ayahnya menghidap diabetes.

Setelah ahli keluarga Amirul Nizam berbincang, adiknya, Shahrul Amir Marodzi bersetuju untuk menderma buah pinggang kepada abangnya.

“Saya tidak meminta mereka untuk berbuat demikian. Tetapi kerana kasih sayang antara keluarga kami begitu kuat adik saya mengambil keputusan untuk menderma buah pinggannya kepada saya.

“Akhirnya pada November tahun lalu saya telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM) di Sungai Buloh, Selangor,” jelasnya.

Amirul Nizam merupakan pesakit pertama yang melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang di PPUiTM.

Kini setelah hampir setahun menjalankan pembedahan tersebut Amirul Nizam semakin sihat dan tidak perlu lagi melakukan hemodialisis.

Peningkatan

Masalah ESRD ataupun kegagalan buah pinggang tahap akhir bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan rakyat di negara ini.

Bilangan pesakit yang menghidap penyakit itu juga menunjukkan peningkatan yang membimbangkan di Malaysia.

Pakar Nefrologi PPUiTM, Dr. Muhammad Iqbal Abdul Hafidz berkata, pada tahun 2015 Malaysia telah menduduki tangga kesembilan tertinggi dalam kadar ESRD.

Jelasnya, bilangan pesakit ESRD baharu telah meningkat hampir dua kali ganda daripada 3,167 pesakit setahun pada tahun 2005 kepada 7,967 pesakit setahun pada tahun 2015.

“Bilangan pesakit dialisis baharu setiap tahun juga telah meningkat hampir tiga kali ganda daripada 13,356 pesakit pada tahun 2005 kepada 37,729 pesakit pada tahun 2015.

“Angka ini dijangka terus meningkat kerana hasil kajian penyakit buah pinggang kronik (CKD) iaitu keadaan sebelum ESRD dianggarkan berlaku kepada hampir 10 peratus golongan dewasa di negara ini,” jelasnya.

Bagi mereka yang berhadapan dengan penyakit ini terdapat tiga opsyen rawatan iaitu dengan melakukan hemodialisis, peritoneal dialisis dan pemindahan buah pinggang.

Peritoneal dialisis adalah salah satu kaedah modaliti dialisis.

Kaedah ini memerlukan cecair dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneal di ruang abdomen melalui tiub khas yang dimasukkan secara kekal melalui prosedur pembedahan kecil.

Paling rendah

Muhammad Iqbal menjelaskan, rawatan terbaik untuk pesakit merawat penyakit buah pinggang tahap akhir ialah pembedahan pemindahan buah pinggang.

Rawatan tersebut bertujuan menggantikan buah pinggang yang rosak dengan buah pinggang baharu.

“Buah pinggang baharu ini melakukan fungsi yang tidak dapat dilakukan oleh buah pinggang yang telah rosak.

“Jika berjaya dan buah pinggang itu mempunyai fungsi yang baik, hemodialisis boleh dihentikan dan pesakit boleh hidup normal seperti biasa,” katanya.

Walaupun pembedahan pemindahan buah pinggang telah dilakukan sejak empat dekad lalu di negara ini, kadarnya antara yang terendah di dunia.

Jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara kadar pemindahan buah pinggang di Malaysia masih rendah.

“Bilangan pesakit yang menjalani haemodialisis terus meningkat dari tahun ke tahun. Sebaliknya, pemindahan buah pinggang mencatatkan penurunan.

“Pada tahun 2016, hanya 48 pembedahan pemindahan buah pinggang dilakukan di negara ini,” kata Muhammad Iqbal.

Statistik terkini mendedahkan lebih daripada 21,000 pesakit kegagalan buah pinggang dalam senarai menunggu.

Antara faktor yang menyukarkan misi ini dilaksanakan kerana stigma sebagai penderma organ.

Ramai yang berikrar untuk menjadi penderma organ selepas mati tetapi kebanyakan keputusan mereka akan ditentang oleh ahli keluarga masing-masing.

Muhammad Iqbal menjelaskan, ada dua konsep untuk penderma buah pinggang iaitu penderma hidup dan penderma selepas kematian.

“Bagi penderma hidup ia boleh melalui keluarga terdekat dan mempunyai pertalian darah atau emosi dengan pesakit.

“Sementara untuk penderma selepas kematian adalah mereka yang meninggal disebabkan mati otak dan telah berikrar menjadi penderma organ,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Iqbal menjelaskan, pemindahan buah pinggang di negara ini juga kurang menjadi pilihan kerana ramai pesakit menganggap rawatan yang terbaik untuk memulihkan buah pinggang adalah dengan hemodialisis.

Sebetulnya, pesakit yang menerima buah pinggang baharu mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding pesakit yang menjalani rawatan dialisis dalam jangka panjang.

“Pemindahan buah pinggang hanya perlu dijalankan sekali sahaja berbanding rawatan dialisis yang perlu dilakukan secara berterusan.

“Bahkan, kos keseluruhan untuk pemindahan buah pinggang ini juga lebih rendah dalam jangka panjang jika dibandingkan dengan kaedah lain,” tegasnya.

Memurut Muhammad Iqbal, antara sebab kurangnya pemindahan buah pinggang di negara ini ialah kekurangan pakar bedah pemindahan buah pinggang.

Di Malaysia hanya terdapat tiga hospital awam yang menawarkan pemindahan buah pinggang. Sejak tahun 2009 kadar pemindahan buah pinggang di negara ini menunjukkan penurunan.

“Jika perkara ini berterusan, apa yang membimbangkan pembedahan ini akan menjadi prosedur yang amat sukar untuk dikuasai kerana kurangnya peluang pakar berbuat demikian,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Nefrologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Ng Kok Peng berkata, kes pertama pemindahan buah pinggang di Malaysia dilakukan pada tahun 1975.

Jelasnya, pesakit yang menerima buah pinggang baharu biasanya hidup lebih lama berbanding mereka yang hanya melakukan hemodialisis.

“Pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang secara puratanya akan hidup antara 10 hingga 15 tahun lebih lama rawatan hemodialisis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN