KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu sebanyak enam buah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen dalam satu operasi di sekitar Danau Kota, Wangsa Maju dekat sini hari ini.
Serbuan tersebut yang dianggotai seramai 50 anggota penguatkuasa DBKL menyasarkan pusat-pusat urut yang pernah diserbu dan beroperasi tanpa lesen yang sah.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, operasi tersebut merupakan susulan daripada serbuan terdahulu berikutan premis-premis tersebut didapati masih beroperasi walaupun tidak memiliki lesen yang sah.
“Risikan yang dilakukan mendapati premis-premis ini masih beroperasi malah dipercayai turut menawarkan perkhidmatan seks walaupun ada diantara mereka yang pernah berkali-kali diserbu dalam operasi terdahulu.
“Kami percaya mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan daripada operasi yang dijalankan sehingga mereka berani mengambil risiko beroperasi walaupun tidak memiliki lesen dan permit yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas selesai operasi serbuan ke atas enam premis pusat urut terbabit dilakukan.
Menurut Azman, kesemua pusat urut yang diserbu dikenakan tindakan sita dan diarahkan tutup serta-merta.
“Kami turut merampas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), beberapa kotak mengandungi kondom dan merobohkan struktur binaan di dalam premis tersebut.
“Bagi premis yang tidak mempunyai lesen, mereka dikenakan notis di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) (1) UUK Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000,” katanya. – K! ONLINE











