DBKL peroleh RM149 juta hasil rundingan transaksi penjualan tanah - Utusan Malaysia

DBKL peroleh RM149 juta hasil rundingan transaksi penjualan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Sebanyak RM 149 juta berjaya diperoleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil rundingan bersama 16 daripada 23 transaksi penjualan tanah hak milik pihak berkuasa tempatan itu.

Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad berkata, bagaimanapun tujuh transaksi masih belum dimuktamadkan yang mana ia melibatkan tiga tanah memerlukan penilaian semula, tiga tidak mencapai kata sepakat dan satu dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata, rundingan transaksi itu perlu dilakukan semula ekoran tindakan kerajaan terdahulu yang menawarkan harga tanah lebih rendah daripada pasaran sehingga merugikan DBKL.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebanyak 23 transaksi tanah yang dirunding semula itu melibatkan keluasan keseluruhan 256.96 ekar di sembilan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antaranya Bandar Tun Razak, Segambut, Kepong, Seputeh dan Titiwangsa.

“Rundingan itu juga berjaya memperoleh sumbangan tanggungjawab sosial korporat sebanyak RM6 juta kepada kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar jawatankuasa khas rundingan 97 transaksi tanah DBKL di sini, hari ini.

Terdahulu, siasatan dijalankan ke atas 97 transaksi membabitkan penjualan tanah milik DBKL bernilai RM5.63 bilion dan sebanyak 23 transaksi berjaya dirunding, 10 transaksi dibatalkan, satu transaksi dibawa ke mahkamah manakala 43 transaksi tanah diteruskan.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 20 transaksi tanah yang selesai dipindah milik kepada syarikat pembeli akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan permit untuk menganjurkan pesta arak ‘OktoberFest’ yang dijangka diadakan pada Khamis ini di sebuah pusat membeli-belah di Lembah Klang.

“Sekiranya penganjur masih mahu menganjurkan Oktoberfest mereka mesti memohon permit daripada DBKL serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya tidak membenarkan orang Islam menyertainya.

“Kami akan menyiasat terlebih dahulu siapa penganjurnya dan akan berjumpa mereka untuk berbincang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini