KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT) terus prihatin menjaga kebajikan apabila membuat kunjungan kepada penyanyi, Dayangku Intan dan suaminya, Rosman Yahil di sebuah pusat perubatan di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Dayangku, 53, selamat menjalani pembedahan mendermakan buah pinggang kepada suaminya, Rosman Yahil, 56 pada hari Sabtu lalu.
“Saya memang kagum dengan pengorbanan Dayang sebagai isteri kepada suaminya. Ia boleh dianggap sebagai sebuah kisah cinta yang sukar ditemui pada masa kini.
“Setakat ini kami telah memberikan sumbangan sebanyak RM2,000 dan mungkin akan bantu lagi sekiranya Dayang memerlukan sepanjang tempoh tiga bulan dia berehat nanti,” jelas Presiden YKAT, Datuk DJ Dave.
Tambah beliau, sehingga kini YKAT yang telah ditubuhkan sejak enam tahun sudah berjaya membantu lebih dari 1,000 orang artis.
“Diharapkan dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban beliau dan keluarga,” katanya.
Turut hadir menziarah dalam sesi kunjungan ini ialah Ahli Pemegang Amanah YKAT, Datuk Nash. – K! ONLINE










