Dapatkan imunisasi ikut jadual - Utusan Malaysia

Dapatkan imunisasi ikut jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 18 Okt. – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menasihatkan ibu bapa di negeri ini agar sedar kepentingan mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk anak masing-masing.

Pengarahnya, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, ibu bapa juga perlu akur dengan imunisasi seperti disarankan pihak kementerian bagi membendung penularan penyakit berjangkit.

“Kesedaran antara ibu bapa mengenai imunisasi memang tinggi, tetapi ada juga kelompok yang tidak berapa sedar tentang kepentingan imunisasi.

“Pihak kementerian mengeluarkan risalah kesedaran tentang kepentingannya. Ibu bapa perlu sedar akan kepentingan imunisasi dan akur dengan program imunisasi yang diaturkan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas mengiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Tunku Ismail yang melawat dan menyampaikan sumbangan bukan sahaja melawat HSA tetapi juga hospital di Kota Tinggi dan Kulai pada hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang bayi perempuan berusia 14 bulan disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru, dua hari lepas.

Kementerian Kesihatan da­lam satu kenyataan memberitahu, bayi itu tidak pernah mene­rima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.

Selahuddeen berkata, JKNJ boleh mengatur semula imunisasi untuk kanak-kanak yang telah tercicir suntikan.

“Kita boleh catch-up program bagi anak-anak menerima imunisasi. Kita memang menerima dalam kita punya program. Kita sentiasa mahu memastikan anak-anak menerima imunisasi demi kebaikan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN