KUALA LUMPUR 16 Okt. – Dakwaan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung kewujudan politik wang dalam pemilihan parti itu disifatkan sebagai perkara serius dan bertentangan dengan laungan agenda reformasi PKR selama ini.
Tanpa niat mencampuri urusan PKR, Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, Hisbah tampil menyatakan pendirian kerana parti berkenaan merupakan sebahagian daripada pemerintah hari ini dan tidak mahu perkara yang pernah terjadi dalam pentadbiran sebelum ini berulang kembali.
Sehubungan itu, Hisbah menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil langkah proaktif membendung gejala tersebut bagi memastikan tiada lagi budaya politik wang berleluasa.
“Kurang 24 jam setelah dakwaan ini dibuat, Hisbah telah berusaha mendapatkan laporan dan terkejut apabila menerima gambar serta video perlakuan politik wang termasuk yang membabitkan ahli politik daripada ‘kem Rafizi’ sendiri.
“Hisbah akan serahkan dapatan kami ini kepada pihak berkuasa dan meminta siasatan menyeluruh dilakukan segera. Sekali lagi kami ingin tegaskan bahawa Hisbah tidak akan membenarkan kewujudan politik wang khususnya membabitkan parti pemerintah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Rafizi ketika berucap dalam Majlis Amanat Rafizi Ramli sempena Pemilihan PKR 2018 di Seremban mengatakan budaya politik wang dalam parti itu dilihat semakin membimbangkan semasa musim pemilihan.
Sehubungan itu, beliau mahu setiap ahli PKR menolak calon-calon yang mengamalkan budaya politik wang dan memilih calon yang berlaku adil, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat di akar umbi. – UTUSAN ONLINE










