BARU lapan tahun memeluk Islam, ternyata status mualaf yang disandang Da’i Adam bukan halangan besar untuk muncul sebagai juara Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam (6) yang melabuhkan tirai pada Jumaat lalu.
Menjadi peserta paling konsisten sepanjang 10 minggu pertandingan, Adam atau nama penuhnya Muhammad Adam Muhibullah Abdullah juga dilihat berjaya memecahkan tradisi penerbitan mana-mana rancangan realiti pendakwah muda di Malaysia apabila seorang saudara baru diangkat sebagai juara.
Kemenangan lelaki berusia 26 tahun itu sekali gus menewaskan dua lagi finalis iaitu Imran Mohd. Zaki (Da’i Imran) yang berada di tangga kedua, manakala Haziq Safwan Norzaman (Da’i Haziq) berpuas hati membawa pulang hadiah tempat ketiga.
Penuh syukur atas kemenangan tersebut, Adam bagaimanapun menyifatkan pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara 6 bukan sebagai gelanggang persaingan tetapi lebih menyifatkan ia terhadap penghargaan dan penghayatan apabila memilih membawakan topik yang disifatkan dekat dengan realiti kehidupan iaitu Bangkit Anak Muda dan Saya Mualaf.
“Awalnya saya menyertai Da’i disebabkan pelawaan rakan, tetapi apabila terpilih saya terus tetapkan dalam minda kenapa tidak ia dijadikan platform kepada para mualaf supaya terus menuntut ilmu dan terus menghayati keindahan Islam.
“Saya anggap pentas persaingan sudah pun berlalu pada minggu-minggu yang panjang sebelum ini. Pada malam kemuncak, saya hanya ingin beri penghargaan kepada semua yang menyokong. Apabila diberi peluang untuk membawakan tajuk bebas pada pusingan kedua, saya terus memilih untuk mengetengahkan topik yang sudah lama ingin dibawa iaitu Saya Mualaf. Ia sebagai inspirasi kepada semua saudara baru di luar sana,” terangnya usai pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara 6 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.
Tenang saat ditebak soal status dirinya yang memberi laluan mudah untuk bergelar juara, penuh positif Adam percaya, barisan juri tetap yang terdiri daripada Ustaz Mohd. Zarifi Mohd. Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail sudah menjalankan tugas dengan telus.
“Jika mempunyai gelaran mualaf tetapi saya sendiri sambil lewa, rasanya mungkin saya juga antara yang tersingkir awal. Saya percaya juri telah memberikan markah dengan sangat telus.
“Alhamdulillah, kegembiraan malam ini bukan sekadar juara tetapi berganda apabila berpeluang bertemu dengan ibu saya buat kali keempat pada tahun ini. Ibu merupakan orang susah, saya akan gunakan wang hasil kemenangan ini untuk membantu ibu saya yang kini menetap di Keningau, Sabah,” tuturnya.
Pada malam berkenaan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber Insan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM60,000 dan tiket umrah untuk dua orang tajaan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd.
Naib juara dan tempat ketiga masing-masing memenangi wang tunai RM15,000, satu tiket umrah dan RM10,000, tambahan sagu hati wang bernilai RM2,000 serta produk Almas daripada penaja yang sama.
Rentas budaya
Mengulas lanjut kriteria yang melayakkan Da’i Adam bergelar juara, wakil juri tetap, Ustaz Zarifi menyifatkan Adam itu memiliki ciri pendakwah muda yang merentas budaya sesuai dengan landskap dakwah masa kini.
Bukan itu sahaja, pemilihan topik Saya Mualaf yang dipersembahkan juara berbangsa Kadazan Dusun itu menjadi kayu ukur utama kerana topiknya begitu dekat dengan kehidupan masyarakat kini.
“Tahun 2018 merupakan landskap baharu dalam dunia dakwah, tentu sekali kami mencari pendakwah muda yang bersifat rentas budaya yang mampu dekat dengan pelbagai kaum.
“Persembahan Adam pada malam ini menepati kriteria yang ditetapkan. Tambahan pula topik bebas yang dipilih menyentuh isu masyarakat menjadi penentu kepada kemenangannya. Biarpun baru lapan tahun memeluk Islam, bacaan al-Quran serta hadis Rasulullah yang diberikannya Adam cukup bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Zarifi turut menitipkan penghargaan kepada pasukan penerbitan yang diketuai penerbit Shukri Ibrahim.
“Saya nampak inilah kejayaan penerbitan Da’i setelah berjaya melahirkan lima juara pada musim lalu serta kepada mana-mana program realiti pendakwah muda di Malaysia kerana ini pertama kali orang muda berstatus mualaf diangkat juara,” tutupnya.











