PORT DICKSON – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Polis Kontinjen Kuala Lumpur melupuskan dadah bernilai kira-kira RM14 juta di tapak pelupusan sisa Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelanduk di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, dadah pelbagai jenis dianggarkan seberat 96 kilogram dan lebih 4 liter air ketum yang dilupuskan itu merupakan bahan bukti perbicaraan melibatkan 5,222 kertas siasatan kes narkotik dari tahun 1981 hingga 2017.
Menurut beliau, dadah tersebut dilupuskan setelah menerima perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes terbabit tamat.
“Barang kes yang dilupuskan ini merupakan dadah yang disimpan di setor barang kes di enam daerah (Ibu Pejabat Polis Daerah) di Kuala Lumpur.
“Dadah itu terdiri daripada heroin, monoacetylmorphines, campuran heroin dan monoacetylmorphines, methampetamine, pil erimin 5, ketamin, candu, ganja, pil ecstasy, air ketum dan lain-lain dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kualiti Alam di sini, pagi tadi.
Hadir sama, Pemangku Ketua Operasi Kualiti Alam Sdn. Bhd., Rizal Zambros; Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. – K! ONLINE










