PUTRAJAYA 13 Okt. – Kerajaan tidak akan memansuhkan cukai pelancongan yang dikenakan ke atas setiap pelancong asing masuk ke negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, cukai itu akan diteruskan pelaksanaannya demi kebaikan kepada negara.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan juga tidak bercadang untuk menaikkan kadar cukai terbabit kerana jumlah dikenakan masih berpatutan.
“Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan cukai pelancongan, cukai tersebut dikekalkan kerana memberi keuntungan kepada negara.
“Buat masa ini, kita belum memutuskan sebarang keputusan untuk menaikkan kadar cukai pelancongan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rungutan pelancong asing mengenai cukai pelancongan yang dikenakan ke atas mereka.
Menurut Mohamaddin, cukai RM10 yang dikenakan kepada pelancong asing amat berpatutan dan jumlah itu kecil jika dibandingkan dengan nilai mata wang negara mereka.
Malaysia mula melaksanakan cukai pelancongan kepada pelancong asing selepas Parlimen meluluskan pelaksanaannya bermula 1 September tahun lalu.
Terdahulu, Mohamaddin hari ini merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat kementerian yang disertai kira-kira 500 kakitangan kementerian dan agensi di bawahnya.











