Cheng Hoe tetap puas hati - Utusan Malaysia

Cheng Hoe tetap puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Walaupun tewas 0-1 kepada Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya apabila berdepan pasukan yang jauh lebih baik dalam ranking dunia.

Kata bekas pengendali Kedah itu, pemainnya menguasai permainan dengan baik apabila mengasak kubu lawan bertubi-tubi namun percubaan anak-anak buahnya gagal menemui sasaran.

“Secara keseluruhan, kita menunjukkan persembahan yang baik dan ada peningkatan berbanding perlawanan terdahulu.

“Pada babak pertama, kita melakukan banyak serangan, (Mohamadou) Sumareh memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga peluang tetapi malang tidak dapat disempurnakan.

“Kyrgyzstan tidak ada banyak peluang tetapi apabila mereka memperoleh kesempatan, ia digunakan dengan baik.

“Apa pun, saya percaya kita masih boleh meningkat dan harap peluang yang diperoleh hari ini dapat diteruskan dan diterjemahkan dengan gol untuk aksi seterusnya,” katanya.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain gantian, Bekzhan Sagynbaev pada minit ke-68 selepas bijak memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan negara.

Sumareh yang cemerlang menjaringkan dua gol dalam penampilan pertamanya ketika Malaysia mengalahkan Sri Lanka 4-1, Jumaat lalu diturunkan dalam kesebelasan utama hari ini.

Kyrgyzstan memiliki ranking yang lebih baik daripada Malaysia dengan berada di kedudukan ke-91. Pasukan negara pula menduduki tangga ke-171. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN