KUALA LUMPUR 13 Okt. – Sudah tiba masanya kerajaan menyediakan pelan perancangan strategik bagi menangani masalah hutang negara yang nilainya dikatakan jauh lebih besar daripada RM1 trilion.

Pensyarah di Jabatan Strategi Bisnes dan Polisi, Fakulti Bisnes dan Perakaunan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail berkata, kerajaan tidak seharusnya berterusan bercakap isu tersebut kerana perkara itu sudah diketahui umum dan mula dianggap lapuk.
Menurutnya, apa diharapkan rakyat ketika ini adalah bagaimana kerajaan baharu mampu mencari jalan keluar kepada permasalahan itu.
“Baguslah kerajaan sekarang menganggapnya sebagai serius, tetapi kena pandai (menyelesaikannya) bukan cakap-cakap sahaja.
“Sebagai contoh kerajaan kena hapuskan ketirisan dan kena bagi jangkaan yang realistiklah,” katanya ketika ditemui selepas forum randau Majlis Perundingan Melayu (MPM) bertajuk Ekonomi Islam @ Malaysia, di sini hari ini.
Semalam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, hutang negara adalah lebih besar daripada RM1 trilion, namun kerajaan menyembunyikannya kerana bimbang negara menjadi muflis seperti Greece. – UTUSAN ONLINE











