Menurut Pakar Perunding Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Vineya Rai Hakumat Rai, masyarakat perlu diberi kesedaran tentang penggunaan ubat-ubatan dengan betul bagi mengelak sebarang komplikasi atau penyalahgunaan.
Beliau mengingatkan semua ubat adalah dadah dan apabila ubat disalahgunakan mesti ada kesan sampingannya. Paracetamol adalah ubat penghilang kesakitan paling selamat tetapi jika mengambil dos berlebihan, ia boleh menyebabkan kerosakan hati akut.
Paracetamol, saran beliau, tidak diambil lebih daripada empat hingga enam gram sehari. Namun rawatan sendiri membuatkan kadang-kadang pesakit tidak sedar yang mereka ambil ubat melebihi had sepatutnya.
“Apa yang merisaukan adalah kebergantungan yang keterlaluan kepada ubat penghilang kesakitan tanpa merawat punca sebenar sakit itu dengan mendapatkan konsultasi doktor.
“Begitu juga dengan ubat penghilang kesakitan lain yang lebih kuat yang mana turut mempunyai kesan sampingan jika berlebihan cuma paracetamol lebih merisaukan kerana amat mudah untuk dibeli,” ujar Dr. Vineya Rai sewaktu ditemui di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, ramai yang kurang peka atau tidak mengetahui fungsi sebenar ubat penahan sakit yang diambil dengan beranggapan sakit yang dihidapi pulih apabila mengambil ubat tersebut.
Sedangkan ubat penghilang kesakitan bertindak dengan membantu proses mengurangkan mesej sakit dari sampai ke otak di tahap-tahap berlainan.
Paracetamol
Ubat penghilang kesakitan secara am dibahagi kepada tiga kategori dan Dr. Vineya Rai beritahu, jenis yang paling biasa adalah paracetamol, antara ubat penghilang kesakitan paling lama di dalam pasaran dan paling biasa.
Tidak dinafikan ia merupakan ubat penghilang kesakitan yang paling rendah kekuatannya tetapi ujarnya tidak bermakna ia tidak berguna.
“Paracetamol merupakan yang pertama diberikan untuk menghilang kesakitan. Ia juga umpama baseline kerana sering digabungkan dengan ubatan lain untuk kesan berbeza.
“Kita tidak boleh terus memberi ubat penghilang kesakitan yang paling kuat kerana takut menyebabkan ketagihan.
“Paracetamol biasa digunakan untuk sakit yang rendah seperti sakit kepala dan sakit gigi,” terangnya.
NSAID
Ubat anti keradangan bukan steroid (Non Steroid Anti-Inflimantary Drugs – NSAID) merupakan jenis ubat penghilang kesakitan yang lebih kuat berbanding dengan paracetamol.
Antara jenama NSAID yang sering digunakan seperti ponstan, voltaren, celebrex dan brufen.
Mekanisme NSAID biasa digunakan untuk melegakan gejala kesakitan, kekejangan, bengkak dan demam. Namun penggunaannya juga perlu berhati-hati.
“NSAID boleh menyebabkan gastrik, ulser perut terutama pengambilan berlebihan kepada pesakit yang berisiko.
“Jika mengambil NSAID berlebihan, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang akut jika diambil dalam jangka masa panjang.
“Ia juga boleh menyebabkan ulser dan pendarahan dalam perut. Begitu juga buah pinggang yang rosak kalau tidak dirawat boleh membawa maut,” terang Dr. Vineya Rai.
Tambahnya, ada sesetengah orang mengalami alahan kepada jenis-jenis NSAID terutama mereka yang mengalami asma dan mereka dinasihatkan sentiasa memaklumkan kepada doktor akan alahan dan lebih berhati-hati dalam pengambilan apa-apa ubat.
Opioid
Opioid atau narkotik merupakan kumpulan ubat penghilang kesakitan yang paling kuat. Antaranya morfin, codeine, oxycodone dan fentanyl.
Ubat penghilang kesakitan terkawal ini biasanya digunakan untuk kecederaan parah akibat kemalangan, pembedahan atau rawatan kanser.
“Kesan sampingan opioid boleh menghasilkan keterujaan khayalan (high) yang membawa kepada salah guna dan ketagihan. Antara kesan sampingannya juga jika dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan kepada pernafasan seperti sukar bernafas lalu membawa maut.
“Kesan sampingan yang paling biasa loya dan muntah,” terangnya.
Tip
Ujar Dr. Vineya Rai, kebanyakan ubat penghilang kesakitan ini ada kesan sampingan pada perut.
“Biasanya kita sarankan mengambil ubat penghilang kesakitan bersama makanan untuk elak rasa tidak selesa atau iritasi pada perut.
“Jangan ambil ubat tahan sakit untuk masa berterusan. Jika selepas tiga hari mengambilnya dan masih tidak baik, segera berjumpa doktor,” katanya lagi.










