Buku masakan Tunku Azizah jadi modul KYP - Utusan Malaysia

Buku masakan Tunku Azizah jadi modul KYP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 18 Okt. – Dua naskhah buku masakan air tangan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dipilih menjadi sebahagian modul pembelajaran penuntut Kolej Yayasan Pahang (KYP) Advanced Skills di sini.

Pengarah KYP Advance Skills, Datuk Noorhishamuddin Yaacob berkata, dua buku tersebut akan menjadi modul pembelajaran penuntut kursus kulinari dan bakeri di bawah unit kompetensi Masakan Asia.

“Saya yakin dengan pendedahan diberikan kepada penuntut KYP Advance Skills melalui buku ini dapat memberi nilai tambah kepada mereka untuk bersaing dalam pasaran kerjaya industri perhotelan.

“Alumni KYP Advance Skills khususnya dalam bidang kulinari bekerja dalam pelbagai peringkat di hotel seluruh negara bahkan di seluruh dunia,” katanya dalam majlis perasmian Buku Air Tangan Tengku Puan Pahang di Villa KuChinta, Kampung Cherok Palok, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), Datuk Hamimah Abdul Karim.

Dua naskhah buku masakan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk mengumpul dana yayasan tersebut.

Dana yang diperoleh itu dapat membantu lebih ramai pasangan yang telah lama berkahwin untuk memperoleh anak menjalani rawatan kesuburan (IVF).

Majlis pelancaran buku yang bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, 6 Ogos lalu.

Buku yang dijual dengan harga RM380 sebuah, diterbitkan oleh TAFF adalah hasil kompilasi resipi yang didokumentasikan sendiri oleh Tunku Azizah sendiri dengan mencemar duli menjelajah setiap pelosok daerah negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN