KUALA LUMPUR 9 Okt. – Cukup-cukuplah mencari kesalahan kerajaan terdahulu, rangkalah dasar yang memberi imbuhan atau pulangan kepada rakyat.

Itulah pesanan yang disampaikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada barisan kepemimpinan kerajaan hari ini yang dilihat lebih banyak mencari salah Barisan Nasional (BN) daripada membangunkan negara.
Beliau percaya, setelah hampir lima bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, sudah tentu rakyat ternanti-nanti program serta polisi yang mampu menyelesaikan isu dan permasalahan mereka.
“Yang penting ialah rakyat. Jangan bebankan rakyat yang dambakan pelbagai imbuhan dan dasar yang lebih baik.
“Kalau mahu cari salah, memang akan jumpa kerana mana ada kerajaan yang sempurna. Begitu juga kerajaan lalu ada kelemahan tetapi jangan nafikan kekuatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalan sidang akhbar penyertaan Pergerakan Pemuda UMNO dalam misi bantuan perubatan dan kemanusiaan ke Kota Palu, Sulawesi, Indonesia di Menara Dato Onn di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











