Bon hijau global tawar potensi tinggi - Utusan Malaysia

Bon hijau global tawar potensi tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Pasaran bon hijau di pe­ringkat global menyaksikan peningkatan dari segi penyertaan terbitan bon dan pembiayaan serta kesedaran terhadap kepentingan segmen berkenaan yang menawarkan potensi tinggi.

Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata, penerbitan bon hijau pada 2017 di peringkat antarabangsa naik sebanyak 78 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada AS$155 bilion (RM643.8 bilion).

Katanya, 37 negara terlibat dalam penerbitan bon hijau itu meliputi sebanyak 239 penerbit yang berbeza dalam sektor awam dan swasta.

“Lebih 146 penerbit sukuk daripadanya merupakan penerbit bon hijau buat kali pertama mencerminkan peningkatan ke­sedaran dan kepentingan terhadap bon hijau dalam kalangan semua pemain industri seluruh dunia.

“Perkembangan ini sete­rusnya meyakinkan lagi Malaysia untuk menjadi peneraju dunia dalam pelaburan hijau,” katanya dalam Forum Pembia­yaan Hijau sempena Persi­da­ng­an dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) 2018 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Malaysia berhasrat terus menjadi peneraju dalam pasaran kewangan hijau Islam dengan menerbitkan lebih banyak sukuk dan bon hijau bagi membiayai projek infrastruktur mesra alam.

Pembiayaan sukuk hijau me­ru­pakan satu kaedah inovatif untuk menyediakan pembiayaan global bagi projek pembangunan lestari di bawah rangka kerja Susuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

Ujar Zainal lagi, berdasarkan statistik daripada Bank Dunia, dana berjumlah AS$90 trilion (RM373.8 trilion) diperlukan bagi membiayai projek infrastruktur di peringkat global.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus diperlukan oleh ekonomi baharu muncul termasuk negara Islam.

“Ia sekali gus menunjukkan kepentingan pembiayaan hijau menerusi pasaran modal Islam bagi menyokong projek infrastruktur tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN