Bom bawah kerusi bunuh calon pilihan raya Afghanistan - Utusan Malaysia

Bom bawah kerusi bunuh calon pilihan raya Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL – Seorang calon pilihan raya Afghanistan terbunuh apabila sebutir bom yang diletakkan di bawah kerusi di pejabatnya di wilayah Helmand, selatan negara berkenaan meletup semalam, kata seorang pegawai kanan kerajaan.

Kumpulan militan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap sera­ngan itu.

Pegawai kanan itu berkata, Abdul Jabar Qahraman yang melakukan persiapan untuk bertan­ding dalam pilihan raya Parlimen Sabtu ini terbunuh akibat letupan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi, tiga lelaki yang berada di pejabat mangsa turut terbunuh, manakala tujuh orang mengalami kecederaan.

“Sebutir bom diletakkan di bawah kerusi Abdul Jabar di pejabat kempennya. Kami sedang menyia­sat serangan ini,” kata jurucakap berkenaan.

Abdul Jabar merupakan calon pilihan raya Parlimen Afghanistan ke-10 yang terbunuh sejak dua bulan lalu. Dua calon lain telah diculik, manakala empat lagi dicederakan oleh militan Taliban.

Selain itu, seramai 22 orang lagi terbunuh semasa mereka menyertai sebuah rapat umum pilihan raya di wilayah Takhar, timur laut Afghanistan pada minggu lalu.

Kumpulan Taliban yang pernah memerintah Afghanistan dari tahun 1996 hingga 2001, mengarahkan orang ramai memboikot pilihan raya Parlimen itu dan berjanji akan meneruskan perang menentang kerajaan Afghanistan yang disokong Barat. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini