ARAU 19 Okt. – Biar proses bedah siasat menentukan sama ada tiga sekeluarga yang ditemukan mati lemas di beberapa lokasi berbeza di sungai Arau di sini semalam, membunuh diri atau terdapat elemen lain yang menyebabkan kematian mereka.
Perkara tersebut disuarakan oleh Norhan Abdullah, 54, anak saudara kepada Norma Pin, 64, iaitu salah seorang mangsa dalam kejadian menyayat hati berkenaan.
Sehingga kini, dia mengakui masih belum boleh menerima hakikat mengenai dakwaan mereka sekeluarga terkorban dengan cara membunuh diri.
“Ibu dan bapa saudara saya merupakan seorang yang mempunyai pegangan agama malah anak lelaki mereka, Mohd. Zali Baharom, 37, yang ditahan polis itu juga merupakan seorang insan yang baik. Mohd. Zali sebenarnya adalah termasuk dalam golongan orang kurang upaya (OKU) kerana mempunyai masalah pembelajaran dan agak mustahil, dia boleh bertindak di luar kawalan.
“Selepas mendengar laporan bahawa ibu bapa saudara dan sepupunya itu dipercayai membunuh diri dalam kejadian itu, ia agak sukar diterima oleh kami sekeluarga. Biar proses bedah siasat menentukan sama ada mereka sekeluarga meninggal dunia dengan cara bunuh diri atau sebaliknya.
“Kami kenal Mohd. Zali, dia seorang OKU, kalau orang pukul atau marah pun dia tidak tahu hendak balas. Sebagai ahli keluarga kami merasa sedih melihat orang ramai menyalahkannya sebagai punca kematian ibu, ayah dan adiknya. Biar polis menjalankan siasatan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Misteri kes mati lemas membabitkan tiga sekeluarga itu berjaya dirungkai polis dengan penahanan seorang lelaki yang merupakan ahli keluarga kepada ketiga-tiga mangsa di Sungai Petani, Kedah, semalam, yang sebelum itu dikatakan turut mati lemas.
Berdasarkan hasil rakaman percakapan terhadap lelaki itu, dia dikatakan cuba membunuh diri bersama ahli-ahli keluarganya tersebut.
Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. dilaporkan berkata, kesemua mereka dikatakan meminum racun sebelum terjun ke dalam sungai di kawasan kejadian, pada pukul 2.45 pagi.
Walau bagaimanapun kata Noor Mushar, lelaki berkenaan membatalkan hasratnya dan berenang semula ke tebing sebelum ke Sungai Petani, lokasi dia diberkas polis kira-kira pukul 10 malam.
Hari ini, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat. – UTUSAN ONLINE










