KUALA LUMPUR 18 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta memberi keadilan sebaik-baiknya dalam siasatan yang dijalankan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhak diberi peluang membela diri dan mendapatkan keadilan sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
“Selagi tidak disabitkan hukuman, Ahmad Zahid berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip perundangan.
“Ini suatu ujian yang hebat untuk orang yang hebat. Justeru, Wanita UMNO mendoakan semoga Allah sentiasa mengurniakan kecekalan dan ketabahan kepada beliau dalam menghadapi ujian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut sumber, Ahmad Zahid yang dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3 petang ini mungkin ditahan sebelum dibawa ke mahkamah, esok untuk pendakwaan.
Beliau diarahkan hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.
Siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – UTUSAN ONLINE










