HUJUNG minggu lalu, khabar duka kepulangan Saleem ke rahmatullah cukup untuk menjalarkan sebak di dada seluruh peminat muzik Nusantara. Ada yang menggelarkan Allahyarham sebagai Raja Balada Malaysia bahkan disifatkan sebagai salah seorang biduan, pemilik vokal emas yang tiada pesaing walaupun untuk seribu tahun lagi.
Sudah cukup banyak belasungkawa yang ditulis teman-teman Allahyarham bahkan penulis-penulis lain yang tersiar di akhbar ataupun akaun media sosial masing-masing tentang vokalis Iklim itu. Lantaran, apa lagi yang mahu penulis kecil seperti saya mahu kongsikan tentang lelaki bertubuh sederhana, berkulit hitam manis dan cukup mudah ketawa itu.
Jika penulis mengaku sebagai anak Terengganu, pasti ramai menjangkakan penulisan ini bersifat berat sebelah, kenegerian bahkan sangat kedaerahan memandangkan Allahyarham Saleem berasal dari Permaisuri, Setiu. Penulis pula dari sebuah mukim yang masih berkiblatkan Setiu sebagai kerusi Parlimen setiap kali tiba waktu pilihan raya.
Faktor kenegerian tersebut tidak penting. Cuma ia menjadi benang halus yang mengikat kemesraan setiap kali pertemuan terutama semasa temu bual dengan penyanyi itu sepanjang berada dalam bidang kewartawanan sejak belasan tahun lalu.
Setiap kali berjumpa pasti dialek Terengganu akan terbutir di bibir penulis sebagai isyarat ‘sekapal’ maka pertemuan yang mulanya formal akan bertukar suasana tidak ubah seperti duduk-duduk di bangsal keropok lekor sambil makan sambil tengok penyu bertelur! Maaf, saya sekadar berseloroh.
Namun, begitulah Allahyarham Saleem, sebutir bintang terang di persada Nusantara tetapi keperibadian dan kesederhanaan miliknya tidak ubah seperti ‘brader-brader’ rock yang hidupnya sangat selamba.
Penulis turut meminati Allahyarham Saleem. Tidak perlulah judul lagu-lagu hitnya disebutkan di sini. Pukul rata, setiap peminat muzik pasti akan dapat menyebut sekurang-kurangnya lima tajuk lagu popular nyanyian arwah dalam masa kurang 20 saat.
Apa yang mahu penulis ceritakan adalah pengalaman ditegur dalam bahasa baiknya, dinasihati Allahyarham Saleem di hujung talian. Insiden tersebut berlangsung sekitar tahun lalu sewaktu memuncaknya kontroversi penyanyi Suci Dalam Debu dengan anaknya iaitu penyanyi Syafiq Farhain. Kontroversi itu berhubung isu guna nama bapa untuk promosi dan Syafiq menyanyikan lagu Allahyarham Saleem dalam majlis-majlis korporat.
Berhasil memujuk arwah untuk bercerita lanjut isu sensitif tersebut namun atas satu perkara yang tidak selesa pada pemikirannya saat itu, Allahyarham Saleem menegur corak pertanyaan penulis dan membayangkan alur cerita yang bakal diterbitkan.
Biarpun disergah namun memahami tekanan yang dihadapinya, apa sahaja yang dituturkan arwah diiyakan tanpa perlu berkeras untuk menang.
Beberapa hari kemudian atas isu sama kami bertemu semula bagi menjelaskan dan membersihkan kekeruhan insiden Allahyarham serta isterinya, Juriah Bachok diterjah wartawan ketika mereka hendak bersemuka dengan pihak pengurusan Syafiq berhubung isu panas yang belum berkesudahan.
Ketika itu, saya bersama beberapa wartawan lain termasuk Editor Pancaindera, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berborak panjang dan boleh ketawa sepanjang petang mengenangkan peristiwa tersebut, termasuk voice note (rakaman suara) berangkai arwah Saleem dalam peti mesej telefon bimbit saya. Semua itu sudah bertukar menjadi insiden lucu apabila dikenang semula,
Sampai ke hari ini, sehinggalah artikel ini ditulis, nasihat serta teguran Allahyarham Saleem itu masih saya simpan dan akan dijadikan kenangan abadi.
Semoga isteri penyanyi Allahyarham A. M. Salim Abd. Majeed yang senang dibahasakan Kak Juriah dalam kalangan media itu akan terus kuat mendepani hidup tanpa suami, pemimpin yang pada sama teman baik bahkan mungkin teman bergaduhnya selama ini.
Pemergian insan terkasih memang memilukan. Namun, di sebalik tangisan kehilangan insan tercinta akibat berpisah mati, kepedihan hilangnya kasih sewaktu hidup tetapi serupa mati juga tidak kurang menyebalkan. Mati tetapi hidup di hati adalah manis, hidup tetapi serupa mati, itu busung yang memakan diri.
Ramai antara kita mungkin mengalami perkara tersebut namun hidup harus diteruskan dengan harapan ada cahaya di hujung persimpangan. Seperti lagu Satu Kesan Abadi atau juga Hakikat Sebuah Cinta, nyanyian Saleem. Wallahuaklam. Al-Fatihah.










