Bekas menteri Kabinet beri keterangan lima jam di SPRM - Utusan Malaysia

Bekas menteri Kabinet beri keterangan lima jam di SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seorang bekas menteri Kabinet memberi keterangan kira-kira lima jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam berhubung kes penyelewengan pemberian kontrak projek solar hibrid untuk sekolah pedalaman di Sarawak.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata, pemimpin kanan sebuah parti politik itu dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurut Simi, pemimpin itu yang juga seorang Ahli Parlimen memberi keterangan dari pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami masih menyiasat kes ini” katanya ketika ditanya sama ada pemimpin itu akan dipanggil lagi oleh SPRM atau sebaliknya.

Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemim­pin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pada 11 Jun lalu, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, kementeriannya telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elek­trik tetap dan hanya menggunakan generator diesel untuk menjana elek­trik.

Pada 27 Jun lalu, dua lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu direman bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek solar hibrid itu.

Pada 9 Julai lepas, seorang bekas pegawai khas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini