Bekas CEO Mutiara Smart didakwa terima suapan RM20,000 - Utusan Malaysia

Bekas CEO Mutiara Smart didakwa terima suapan RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mutiara Smart Sdn. Bhd yang dulu dikenali sebagai MIMOS Smart Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Azizul Fikri Ab. Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang individu melalui akaun bank Maybank miliknya bernombor 164061651505 sebagai upah meluluskan tuntutan komisyen bagi projek Pusat Siber Rakan Muda Zon Sarawak bernilai RM45,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di Maybank cawangan Bandar Kinrara pukul 4.36 petang pada 14 September 2015.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan. 

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazirah Azeman kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah. 

Bagaimanapun, Peguam Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin sebanyak RM10,000 berikutan anak guamnnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dalam tahanan remannya sebelum ini. 

“Sepanjang tempoh menunggu pendakwaan, anak guam saya juga tidak melarikan diri dan penjamin juga merupakan isterinya sendiri,” katanya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah. 

Sebutan kes ditetapkan pada 2 November depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini