Bekalan dadah berlebihan ancaman kepada remaja - Utusan Malaysia

Bekalan dadah berlebihan ancaman kepada remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Pengeluaran dan penyeludupan dadah di rantau Mekong dan Asia Timur telah mencapai tahap di luar jangkaan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

PBB memberi amaran bahawa lebihan bekalan itu mengancam golongan lebih belia dan remaja.

Walaupun pihak berkuasa me­rampas dadah dalam jumlah yang lebih besar, lebihan bekalan menyebabkan harga narkotik susut dan menjadikan dadah seperti methamphetamine mampu dibeli oleh golongan remaja, kata pegawai di Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah ­(UNODC), Je­remy Douglas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bekalan dadah makin mening­kat ekoran kumpulan-kumpulan penjenayah berterusan menambah bekalan dan membanjiri rantau ini de­ngan produk mereka,” kata Douglas kepada agensi berita Reuters menjelang satu mesyua­rat di Bangkok bagi menangani trend tersebut.

Di Thailand contohnya, pil metham­phetamine dijual pada harga­ antara AS$1.50 (RM6.20) hingga AS$4.50 (RM18.65) pada tahun 2017, turun berbanding anggaran AS$4 (RM16.50) hingga AS$7 (RM29) dalam tahun 2014, demikian menurut data PBB pada tahun ini.

“Peningkatan mendadak bekalan pil ‘yaba’ menyebabkan harga jalanannya di seluruh rantau tersebut turun, menjadikannya mampu dibeli oleh penagih muda yang diper­kenalkan kepada dadah itu,” tambah Douglas yang menggunakan perkataan Thailand untuk pil methamphetamine.

Polis merampas lebih 14 juta pil yaba bernilai sekurang-kurangnya AS$45 juta (RM186.4 juta) dalam salah satu rampasan dadah terbesar di Thailand pada Ogos lepas.

Jirannya, Malaysia pula melakukan rampasan methamphetamine kristal terbesarnya pada Mei lalu melibatkan hampir 1.2 tan dadah tersebut yang diseludup dari ­Myanmar. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini