Bayi lapan bulan maut, tiga parah dikelar ibu kandung - Utusan Malaysia

Bayi lapan bulan maut, tiga parah dikelar ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan terbunuh manakala dua kakak dan abangnya parah dipercayai dikelar ibunya yang kemurungan di sebuah kuarters di Pulau Mantanani di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa Jerry Yohanes disahkan meninggal dunia di lokasi yang disyaki mengalami kecederaan akibat dikelar pada bahagian leher.

Sementara, Nurul Hanisa berusia lapan tahun, Melati, 7, dan Jehan, 5, parah kerana turut dikelar pada bahagian yang sama dengan menggunakan pisau.

Difahamkan, selepas mengelar anak-anaknya, suspek berusia 30 tahun yang merupakan ibu kandung cuba membunuh diri dengan mencederakan lehernya tetapi, gagal kerana dihalang oleh suaminya.

Menurut sumber, semasa pasukan polis sedang menjalankan Rondaan Jalan Kaki berhampiran kuaters terbabit pada pukul 1.40 petang, mereka dihampiri suami kepada suspek dalam keadaan berlumuran darah.

“Lelaki terbabit meminta bantuan dan memaklumkan anak-anaknya telah dikelar oleh isterinya.

“Wanita yang disyaki mengalami kemurungan itu mengelar keempat-empat anaknya sehingga menyebabkan seorang bayi maut manakala tiga parah,” katanya.

Mayat bayi dan kesemua mangsa yang parah segera dihantar ke Hospital Kota Belud dekat sini dengan menggunakan bot untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

“Siasatan lanjut berhubung insiden ini masih dijalankan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN