BARCELONA 23 Okt. – Tanpa Lionel Messi, ia menjadi masa terbaik buat Barcelona untuk membuktikan mereka tetap hebat apabila menerima kunjungan Inter Milan dalam aksi Kumpulan B Liga Juara Juara Eropah awal pagi Khamis ini.
Ini juga merupakan masa terbaik untuk Barcelona menunjukkan kepada dunia bahawa mereka tidak hanya atau terlalu bergantung kepada Messi semata-mata untuk menyinar dalam setiap musim.
Bagaimanapun ada pula yang menganggap ketiadaan Messi, 31, akibat mengalami keretakan pada tulang tangan kanannya ketika menentang Sevilla Sabtu lalu adalah malang yang hadir pada masa yang tidak sesuai.
Ini kerana selain terpaksa berdepan dua kali dengan Inter dalam aksi timbal balik peringkat kelab Eropah pada Khamis dan bulan depan, Barcelona juga dijadual menentang Real Madrid dalam aksi yang dikenali dalam La Liga sebagai El-Clasico pada Ahad ini.
Menurut sebuah akhbar Sepanyol, antara pemain pengganti ialah Ousmane Dembele, Rafinha, Munir El Haddadi, Malcom, Carles Alena dan Sergi Roberto. – AFP











