Banteras maksiat tugas semua pihak - Utusan Malaysia

Banteras maksiat tugas semua pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES bayi dibuang merata-rata bukan kes luar biasa di negara ini. Usahlah kita sibuk dengan statistik jika saban hari kes sedemikian mendominasi media perdana dan sosial.

Antara lokasi popular bayi yang masih bertali pusat ‘ditinggalkan’ adalah di depan surau atau masjid. Rasanya bayi tersebut adalah hasil hubungan terlarang dari ruang yang dikatakan milik sah seseorang dari segi undang-undang duniawi.

Tidak kiralah di sebalik pintu rumah, hotel mahupun inap desa. Jika perbuatan mungkar ini tidak ditegah sudah pasti kes buang bayi terus meningkat berganda-ganda.

Sebaiknya kita wujudkan sedikit ketakutan dalam diri umat Islam untuk melakukan sesuatu yang dikesali kemudian hari nanti. Terutama apabila benih yang ditabur menjadi janin.

Hari ini perkembangan media sosial mewujudkan wadah untuk hubungan lelaki dan wanita bukan mahram semakin mudah. Ayat-ayat pujuk rayu yang mengghairahkan akhirnya mewujudkan hubungan fizikal terlarang di tempat tertutup.

Sepatutnya pihak yang berautoriti lebih berasa bimbang dengan fenomena hubungan luar nikah yang bukan perkara pelik di negara maju kerana mereka memisahkan agama dan pentadbiran undang-undangnya.

Dalam konteks negara kita ingatlah jika terlupa sejarah, bahawa Malaysia dibentuk daripada negeri-negeri yang mempunyai sultan dan raja. Sultan adalah Ketua Agama Islam. Maka kepentingan umat Islam sentiasa mendapat perhatian baginda sultan. Terutama bersabit perkara halal dan haram mahupun syubhah (kesamaran).

Apabila ada pihak tertentu yang memperjuang privasi atau ruang bersendiri, maka sudah pasti umat Islam merasakan ia mencambahkan maksiat seperti bersekedudukan.

Hari ini ada golongan tertentu menuntut pelbagai hak secara perundangan walaupun selama ini hak tersebut telah dilaksana secara tidak rasmi.

Kebimbangan utama apabila perkara terjadi secara tidak sah yang berleluasa di luar kemampuan untuk mengekangnya, terus diberi kelonggaran secara berautoriti.

Sesungguhnya ajaran Islam bukan bersifat menghukum tetapi juga mengandungi elemen pencegahan. Maka tidak perlulah membuat kempen mengedar kondom jika ruang untuk ia digunakan tidak diwujudkan.

Umat Islam bukan jumud dalam isu privasi tetapi antara ajaran Islam adalah melindungi nasab dan membiarkan dua insan yang disyaki berkhalwat dan dalam mukadimah bersetubuh tanpa nikah adalah amat berbahaya.

Bayangkan jika kesudahannya pasangan tersebut bernikah dan mendapat anak yang dibinkan bapa yang menyemai benih ke rahim ibunya, adakah anak itu anak sah taraf?

Sebaiknya, isu privasi tidak dibangkitkan lagi kerana pihak berkuasa Islam hanya ingin menjaga agama Islam daripada terus dicemari umatnya yang terpesong daripada ajaran yang syumul.

Hormatilah agama Islam yang mengandungi hikmah dan ibrah. Jangan kerana hanya kita sahaja yang hendakkan ruang privasi menyebabkan umat Islam terus dibebani isu buang bayi dan janin terdampar dalam mangkuk tandas serta perangkap sampah di sungai.

Biarlah agama mengekang nafsu serakah, jangan dipecahkan hingga kebebasan yang dicari menjadi pembuka jalan ke lembah kebinasaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN