KUALA LUMPUR 11 Okt. – Perancangan kerajaan mahu melepaskan aset bukan teras dan bukan strategik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dikhuatiri menjejaskan skim-skim amanah bumiputera di bawahnya.
Disebabkan itu, UMNO membuat keputusan menolak sebarang usaha penjualan aset Khazanah serta PNB.
Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran ringkas dalam akaun Twitter beliau hari ini.
Meskipun sedang memberi keterangan berkenaan dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya, Yayasan Akal Budi di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun Ahmad Zahid tetap ‘mencuri masa’ menyatakan penolakan terhadap usaha kerajaan itu.
“PNB merupakan agensi amanah bumiputera di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera.
“Justeru, sebarang penjualan untuk melepaskan hak pemegangan ekuiti akan jejaskan peratusan ekuiti portfolio untuk skim-skim saham amanah di bawahnya,” kata beliau.
Perancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.
Beliau memberitahu, Khazanah dan PNB dijangka mengkaji semula dan mencairkan beberapa aset tidak strategik sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kerajaan.











