BAM enggan 
tekan Chong Wei - Utusan Malaysia

BAM enggan 
tekan Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu menganggu privasi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sehingga pemain itu sendiri bersedia tampil menjelaskan perkembangan terkini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sekali lagi mengulangi ruang peribadi Chong Wei perlu dihormati dan berharap tiada pihak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu emosi pemain itu ketika ini.

“Saya akan melawat beliau di rumah dan berbincang dengan Chong Wei mengenai tindakan seterus­nya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami hormat privasi (beliau) dan keluarganya ketika ini. Sudah pasti selepas mendapat persetujuan Chong Wei, kami akan beri maklum balas menerusi sidang media.

“Kita akan terus menyokong Chong Wei dan menghormati setiap keputusan yang dibuat. Paling penting adalah mahu melihat beliau pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama selesai menjalani rawatan hampir lebih dua bulan dan dibenarkan pulang ke tanah air oleh doktor yang me­rawatnya di Taiwan pada Ahad.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu juga memberi maklum balas pada Ahad lalu bahawa dia akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat dan meminta pihak media hormati ruang peribadinya ketika ini.

Mengulas mengenai pemain muda perseorangan, Lee Zia Jia yang menamatkan kemarau 14 tahun merangkul kejuaraan Terbuka Taiwan pada Ahad, Mohamad Norza berkata ia adalah satu percapaian cemerlang tetapi perlu konsisten dari semasa ke semasa.

Kemenangan itu belum cukup untuk menyifatkan BAM sudah jumpa pengganti Chong Wei kerana masih banyak cabaran yang perlu dilalui seseorang pemain untuk kekal konsisten.

“Pertama sekali, tidak boleh dinafikan ia satu kejayaan cemerlang diraih Lee Zii Jia apabila menjuarai Terbuka Taiwan. Dia masih muda, beri masa kepada dia untuk mengembangkan kariernya. BAM tidak mahu memberi tekanan kepadanya.

“Kejayaan itu memberi sinar dalam badminton negara. Ini adalah perkembangan positif. Pemain pelapis semakin serius dalam menuju matlamat mereka,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini