KUALA TERENGGANU 13 Okt.- Kerajaan Negeri berharap pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan Persekutuan tidak lama lagi akan mengambil kira pembangunan sukan Terengganu dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis dan jaguh sukan negara terutama dalam sukan lumba basikal.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, ini termasuk mempercepatkan dana bagi pembinaan kemudahan sukan yang dicetuskan kerajaan terdahulu iaitu velodrom lumba basikal di Dungun yang dikatakan menelan kos kira-kira RM8 juta.
“Dalam dua mesyuarat terdahulu bersama kerajaan persekutuan kita telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi meneruskan pembinaan velodrom dan asrama sukan.
“Kita percaya dengan pembinaan velodrom ini akan melonjakkan lagi sukan berbasikal di mana sebelum ini para atlet kita banyak berlatih di jalan raya dan di luar negara… jadi ini adalah satu pelaburan jangka masa panjang untuk kita melahirkan lebih ramai pelapis dan atlet dalam acara ini dan sukan-sukan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Dataran Batu Buruk, yang dihadiri kira-kira 12,000 penduduk bandaraya ini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukhairi Wan Abdullah.
Mengulas perkembangan terkini velodrom yang belum dinamakan itu, Ahmad Shamsuri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang berkata kerajaan negeri diperingkat meneliti rekabentuk dan pelan kemudahan itu dan lantikan kontraktor secara tender terbuka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Sementara itu kerajaan negeri juga berharap mendapat bajet daripada kerajaan Persekutuan bagi meneruskan pembinaan projek infrastruktur jalan raya, tebatan banjir, hakisan pantai dan pendalaman muara sungai.
Katanya projek berkenaan adalah di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran yang memerlukan peruntukan kewangan daripada kerajaan pusat.
“Kita berharap sangat empat atau lima projek yang sedang diberlangsung ketika ini dapat diteruskan…ia bukan sahaja untuk memajukan negeri tetapi juga untuk negara bagi kemudahan rakyat dan industri pelancongan,” katanya.- BERNAMA










