Bajet 2019: Jangan pinggir kepentingan rakyat - Utusan Malaysia

Bajet 2019: Jangan pinggir kepentingan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 18 Okt. – Kerajaan Pusat pimpinan Pakatan Harapan perlu memikirkan impak terhadap rakyat sebelum mengurangkan pelbagai perbelanjaan yang mungkin dilaksanakan dalam pembentangan Bajet 2019.

Presiden Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohamad Faiz Azemmant berkata, umum mengetahui rakyat sememangnya perlu bersedia bahawa tidak banyak insentif akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2019, 2 November nanti.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu memberi penekanan terhadap kepentingan rakyat terutamanya golongan sederhana dan miskin yang masih memerlukan bantuan serta sokongan untuk menjalani kehidupan.

“Kerajaan tidak seharusnya mengurangkan peruntukan terhadap dasar serta program yang berkaitan dengan kesihatan, pendidikan, persekitaran, pertahanan, keselamatan dan pembasmian kemiskinan.

“Semua yang disebutkan adalah ‘nadi’ keperluan rakyat, jadi tidak wajar jika semua perkara penting itu diketepikan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Mohamad Faiz berkata, rakyat juga perlu bersedia bagi menerima cukai baharu yang mungkin akan diperkenalkan oleh kerajaan pada hari sama Bajet 2019 diumumkan.

“Mungkin boleh diterima jika langkah itu adalah sebahagian langkah untuk mengukuhkan kedudukan negara pada masa depan.

“Tetapi lebih tepat jika ia hanya dikenakan ke atas orang-orang yang mampu untuk membayar seperti golongan kaya dan bukan ke atas kelas sederhana atau miskin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN