KUALA LUMPUR 18 Okt. – Peranan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam menjaga keselamatan makanan adalah sama penting dengan peranan Kementerian Pertahanan dalam menjaga keselamatan negara.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, justeru beliau berharap kerajaan memberikan lebih peruntukan berbanding tahun sebelum ini dalam Bajet 2019 untuk kementeriannya yang memikul tanggungjawab tersebut.
“Jika kerajaan boleh membelanjakan ratusan bilion ringgit untuk membeli pesawat-pesawat pejuang untuk angkatan tentera tanpa sebarang persoalan semata-mata untuk menjaga keselamatan negara, sama juga peranan kita iaitu untuk menjaga keselamatan makanan. Ini adalah satu pelaburan kepada kerajaan.
“Keselamatan makanan sudah jadi keselamatan negara, jangan bandingkan. Walau bagaimanapun kita tahu kerajaan perlu berjimat jadi jika tidak dapat dinaikkan, kekalkan peruntukan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Bioalpha Holdings Berhad dengan Jinrui Fortune Holdings Group dari China di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









