KUALA TERENGGANU 11 Okt. – Kementerian Kesihatan bimbang dengan sikap orang ramai yang masih terpengaruh dengan ubat-ubatan tidak berdaftar, palsu dan tidak bernotifikasi yang dijual secara meluas dan mudah diperoleh terutama secara dalam talian.

Antara yang menarik minat mereka ialah ubat atau suplemen untuk memutihkan kulit, melangsingkan tubuh dan mencantikkan wajah untuk wanita manakala golongan lelaki pula gemarkan ‘ubat kuat’ tanpa mengkaji terlebih dahulu kesan sampingan atau risiko yang bakal dihadapi.
Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr. Kamaruzaman Saleh berkata, ubat-ubatan terlarang itu didapati bukan sahaja diseludup malah turut dihasilkan oleh pengusaha tempatan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan helah peniaga bagi mengelakkan kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan.
“Kementerian Kesihatan menerusi bahagian penguatkuasaan sentiasa memantau perkara ini termasuk mengadakan serbuan serta merampas ubatan-ubatan yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Farmasi Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh di sini hari ini.
Kamaruzaman seterusnya memberi jaminan meski pun berlaku lambakan ubatan tidak berdaftar, palsu dan kosmetik tidak bernotifikasi, namun ia masih dalam keadaan terkawal.
Katanya, pada tahun ini di negeri ini, sebanyak 51 serbuan dilakukan dengan nilai rampasan RM1.6 juta melibatkan 745 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi manakala pada tahun lalu, 1,096 produk seumpama itu bernilai RM2.06 juta dirampas.
Orang ramai juga boleh menyemak kesahihan serta kualiti ubatan seumpama itu menerusi laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.











