Bahana keracunan metanol - Utusan Malaysia

Bahana keracunan metanol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Metanol (CH3OH) juga dikenali sebagai metil alkohol atau wood alcohol merupakan salah satu bahan kimia dalam kumpulan alkohol. Ia banyak digunakan dalam industri, contohnya industri pembuatan cat, sintesis plastik, industri tekstil juga sebagai bahan bakar.

“Metanol boleh mencemari minuman beralkohol akibat pendistilan alkohol yang tidak diselia atau peminum sendiri yang mencampurkan metanol ke dalam minuman beralkohol untuk mendapatkan kesan kemabukan yang segera. Pada suhu bilik, metanol berbentuk cecair jernih mudah meruap dan terbakar.

“Apabila diminum, metanol mudah diserap ke dalam aliran darah dan disebarkan ke seluruh badan. Sebahagian kecil akan dikumuhkan tanpa dimetabolisme melalui urin dan pernafasan. Sebahagian besar akan dioksidasikan kepada formaldehyde dan seterusnya kepada asid formik. Asid formik merupakan hasil metabolisme metanol yang sangat toksik kepada sistem saraf pusat yang boleh menyebabkan kebutaan, koma dan kematian,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Redzwan, keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik. Metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum. Keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilangkan secara tidak sah, kerana kebiasaannya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol. Ini kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol.

“Pada peringkat awal keracunan, pesakit mengalami gangguan saluran pencernaan seperti sakit perut, loya, mual dan muntah terutamanya selepas lima hari pengambilan alkohol yang tercemar dengan metanol. Seterusnya akan berlaku penindasan fungsi saraf pusat dengan gejala yang hampir menyerupai kemabukan iaitu sakit kepala, sakit otot badan, lesu, kekejangan otot dan sawan. Selain saraf pusat, satu ciri khusus keracunan metanol adalah kerosakan kepada saraf optik dengan tanda klinikal seperti dilatasi anak mata (pupil), kabur penglihatan juga kebutaan yang kekal.

“Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, gejala akan bertambah teruk seperti pengsan, koma juga boleh terjadinya kematian mengejut. Pesakit yang mengalami keracunan metanol berisiko tinggi mati kerana kadar fataliti yang tinggi terutamanya bagi kes yang lambat mendapatkan rawatan. Manakala mereka yang terselamat pula, kebiasaannya akan mengalami gangguan penglihatan atau kebutaan kekal,” jelasnya.

MITOS ALKOHOL

Dalam pada itu, pakar perubatan berpendapat, alkohol dalam bentuk wain merah apabila diminum dengan kadar yang sedikit, bermanfaat untuk jantung. Oleh itu, ramai pakar dalam bidang kardiologi terutamanya di luar negara menggalakkan masyarakat meminum wain merah sebanyak satu hingga dua gelas sehari agar kesihatan jantung mereka terpelihara.

Pengambilan alkohol yang sedikit menambahkan kolesterol baik (HDL) di dalam darah, namun ia hanya benar bagi wain merah (red wine) dan bukannya bir atau spirit. Sebenarnya, bukanlah alkohol yang menyihatkan jantung, sebaliknya bahan flavonoid yang terdapat di dalamnya yang menguatkan jantung. Bahan flavonoid ini diperolehi daripada buah-buahan yang digunakan untuk menyediakan arak.

Masalahnya ialah pengambilan alkohol diterima sebagai suatu yang biasa dalam masyarakat sedangkan kesan pengambilannya adalah lebih teruk. Oleh itu, Islam mengharamkan arak sama sekali dan tidak menganggapnya sebagai penawar.

“Apabila seseorang meminum alkohol, ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya.

“Pengambilan dua hingga tiga gelas alkohol di dalam masa sejam sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang tidak stabil. Ketagihan arak memberi kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat. Dari sudut diri sendiri, ia boleh menyebabkan sawan dan halusinasi dan pengambilannya dalam jangka masa yang panjang boleh merosakkan otak untuk selama-lamanya,” jelasnya.

Di samping itu, pengambilan alkohol dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru (pneumonia), batuk kering, barah mulut dan kerongkong, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan.

Dr. Muhammad Redzwan menasihatkan masyarakat agar menjauhi daripada mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol yang mendatangkan masalah kesihatan dengan tanda-tanda dan gejala seperti sesak nafas, sakit perut, loya atau muntah, cirit-birit, pening atau sakit kepala yang teruk, kabur penglihatan dan kekejangan serta boleh mengakibatkan maut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN