KUALA TERENGGANU 5 Okt. – Menepati ramalan, Azan Ismail mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu apabila berjaya menewaskan dua pencabarnya dalam pemilihan di sini hari ini.
Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu memperoleh 180 undi manakala lawannya, Mohd. Alfaizal Amjed mendapat 99 undi dan Md. Shuhaimi Ismail (14 undi).
Keputusan itu dianggap muktamad berdasarkan kesediaan ketiga-tiga mereka telah menurunkan tandatangan masing-masing di dewan pemilihan di Dewan Seri Budi di Jalan Sultan Omar di sini lewat petang ini.
Azan yang merupakan calon Naib Presiden pada pemilihan PKR kali ini ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, peratusan yang keluar mengundi bagi cabang berkenaan cuma sekitar 33.2 namun disifatkan antara yang tertinggi di Terengganu setakat ini.
Beliau seterusnya yakin perkembangan positif dalam suasana pemilihan oleh dijadikan model kepada PKR negeri lain apabila proses pemilihan berjalan lancar dan tenang berbanding insiden di Pulau Pinang dan Kedah sebelum ini.
“Malah ia juga merupakan momentum terbaik sekali gus menjadi petanda cukup positif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.
Azan turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan kerjasama dalam memastikan proses pemilihan cabang itu berjalan lancar.
“Prosesnya (pemilihan) cukup baik dan saya ucap terima kasih kepada pihak polis terutama Ketua Polis Terengganu atas respons yang sangat baik dan kita dapat tutup tempat pengundian tepat pukul 5 petang ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










