WASHINGTON 18 Okt. – Kanada mungkin membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi tetapi ahli perniagaan yang terlibat dalam penjualan bahan terlarang itu tidak dibenarkan memasuki sempadan di selatan Amerika Syarikat (AS).
Sebagai negara pertama di dunia berbuat demikian, para pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) memberi amaran mereka akan menyekat sesiapa sahaja yang cuba masuk ke negara ini dengan niat ‘untuk membantu keuntungan perniagaan ganja’.
Lapor al-Jazeera, CBP memberi amaran dadah kekal haram di bawah undang-undang Persekutuan AS, oleh itu mereka diberikan tanggungjawab untuk menangani penggunaannya dan sebarang promosi.
“Jika rakyat Kanada datang ke AS dengan niat tidak terlibat dalam industri ganja dan keuntungan industri terbabit, individu berkenaan dialu-alukan datang ke negara ini.
“Tetapi jika mereka datang ke AS dengan kepentingan untuk menyumbang dan mengembangkan industri ganja, mereka akan disekat,” kata pegawai CBP, Christopher Perry ketika sidang akhbar di Detroit, Michigan berdekatan sempadan Kanada.
Amaran itu bakal menjejaskan pertukaran bekalan, teknologi dan pelaburan rentas sempadan dalam sektor ganja.
Syarikat-syarikat Kanada telah menyumbang dana dan kepakaran kepada firma ganja di lapan negeri di AS seperti Colorado, California dan Maine – di mana penggunaannya secara rekreasi adalah dibenarkan serta kira-kira 30 negeri lain diberi kebenaran untuk digunakan bagi tujuan perubatan.
Semalam, Kanada menghalalkan dan mengatur penjualan serta penggunaan ganja secara rekreasi selepas hampir satu abad dianggap sebagai bahan terlarang.
Langkah Kanada itu menjadikannya negara kedua selepas Uruguay untuk menghalalkan penggunaan dadah.










