RAJA pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Muhammad Aqil Yasmin menyasarkan pingat emas berganda buat Malaysia dalam acara 100 meter (m) dan 200m pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 di Naypyidaw, Myanmar bermula 10 Disember depan.
Aqil yang akan genap usia 21 tahun Ahad ini, sedar ia bukan tugas mudah untuk menjuarai acara 100m yang pernah dimenangi pelari pecut kebangsaan, Jonathan Nyepa dengan catatan masa 10.62 saat (s) sewaktu AUG 2016 di Singapura.
Pingat emas acara 200m edisi dua tahun lalu itu dimenangi jaguh pecut Thailand, Jirapong Meenapra dengan catatan 20.99s.
“Nama saya memang sudah ada dalam senarai untuk AUG 2018. Kejohanan ini penting kerana saya mahu mengharumkan nama Malaysia.
“Saingan memang sukar kerana masa terbaik saya hampir sama dengan Jonathan. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memenangi pingat tetapi kalau boleh saya mahu sekali lagi memperbaiki catatan peribadi.
“Segalanya bergantung pada hari pertandingan dan juga berdasarkan keadaan badan di sana nanti. Fokus utama perbaiki catatan dahulu dan barulah kita lihat seterusnya nanti,” katanya.
Aqil berada pada tahap terbaik ketika ini selepas merekodkan catatan peribadi baharu 10.39s ketika meraih pingat emas 100m Sukma 2018.
Dia juga berjaya mencipta rekod baharu Sukma 2018 dalam acara 200m, memadam catatan milik pelari terpantas negara, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 21.01s.
Kejohanan Olahraga Terbuka Inotek di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 17 hingga 18 November ini akan menjadi pentas pemanas badan buat Aqil sebelum menghadapi cabaran AUG 2018.
Sebagai rekod, Aqil berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan 100m Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Taiwan tahun lalu.










