Anwar puas hati perjuangan reformasi jadi agenda nasional - Utusan Malaysia

Anwar puas hati perjuangan reformasi jadi agenda nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agenda reformasi yang diperjuangkannya sejak lebih 20 tahun lalu bukan sia-sia apabila akhirnya diangkat sebagai agenda nasional untuk membentuk Malaysia baharu.

Beliau mengakui berpuas hati apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya menerima perjuangan reformasi diperjuangkan parti itu dalam usaha memulihkan kerosakan yang berlaku di dalam negara. 

“Saya begitu terkesan, selama 20 tahun saya berjuang dan akhirnya muncul ketua kerajaan (Mahathir) yang mengungkapkan negara ini harus meninggalkan kebobrokan, rasuah dan kerosakan yang berlaku.

“Dahulu kita gesa reformasi kepada sistem kehakiman, SPRM, polis sehinggalah kepada gejala rasuah, akhirnya ia dilaksanakan, cuma bezanya reformasi ini diucap oleh Mahathir. 

“Reformasi kini bukan hanya dijalanan tetapi dari jalanan telah pergi ke Parlimen sehingga Putrajaya,” katanya dalam ucaptama Program Pidato Malaysia Baharu di Dewan Raja Musa Seksyen 7, di sini sebentar tadi. 

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mendedahkan dirinya bersetuju untuk memilih Mahathir sebagai Perdana Menteri demi menyelamatkan rakyat dan negara yang telah sekian lama menderita akibat kepimpinan sebelum ini. 

 Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, biarpun hatinya pedih dan sedih namun kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan daripada kepentingan peribadi sejajar memulihkan kerosakan yang telah berlaku. 

 “Saya tahu di dalam mesyuarat ahli parti ada yang marah, bengis, tidak bertegur tetapi saya tidak marah sebab saya alami keperitan juga. 

“Tetapi duduk di penjara lama-lama tak laratla (sedih). Saya mungkin senyum tapi hatiku luka siapa yang tahu. 

 “Tetapi kita perlu ada kebijaksanaan dan bila renung dan bincang bersama pimpinan, di antara derita kita dan rakyat atau antara parti dan negara, kita pilih rakyat dan negara kerana itu yang utama,” ujarnya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN