Anwar mampu bantu pulihkan ekonomi negara - Azmin - Utusan Malaysia

Anwar mampu bantu pulihkan ekonomi negara – Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin kehadiran semula presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen mampu membantu memulihkan ekonomi negara dalam merealisasikan impian untuk kembali menjadi Harimau Asia.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemenangan Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson  pada 13 Oktober lalu dengan majoriti besar membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan padu daripada semua pengundi dari pelbagai kaum.

“Kemenangan beliau (Anwar) membuktikan bahawa masyarakat majmuk, pelbagai agama dan budaya di negara ini terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan kerana masa depan negara terletak di tangan kita untuk memikul tugas dengan jujur dan Amanah.

“Ketika saya mendengar ucapan Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) pelbagai kejayaan dikongsi dan saya terus rasa cemburi kerana ketika saya sampai di Putrajaya kantung negara sudah kosong dan hutang negara mencecah satu trilion,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pidato Malaysia Baru di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Menurut Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bebanan hutang negara yang begitu tinggi menyukarkan kerajaan untuk mengurus negara.

“Kehadiran beliau (Anwar) sebagai Ahli Parlimen Port Dickson memberi satu dorongan kepada saya dan pemimpin bergerak secara kolektif membentuk satu muafakat dalam mengangkat semula negara sebagai Harimau Asia,”ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membuktikan komitmen kerajaan PH melakukan reformasi secara total bagi memulihkan ekknomi dan mengubah persepsi dunia kepada Malaysia.
   
“PH meletakkan tonggak utama berkaitan isu urus tadbir yang baik antaranya membanteras salah guna kuasa dan rasuah bagi menarik semula keyakinan pelabur asing.
  
“Mereka yang terbabit dalam rasuah perlu diheret ke muka keadilan dan bukannya mahu bersikap zalim kepada individu tertentu,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN